Proses pengundian berjalan mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan serta dirancang untuk menjamin kerahsiaan undi. Pengundi tidak perlu ragu tentang kerahsiaan undi. Khabar angin bahawa pihak-pihak tertentu akan dapat mengenalpasti parti atau calon yang diundi oleh seseorang pengundi adalah tidak benar. Sila lihat dalam penerangan berikut.
Sebaik sahaja seorang pengundi masuk ke dalam Tempat Mengundi (saluran) mengikut gilirannya, ia dikehendaki menunjukkan kad pengenalan atau lain-lain dokumen yang ada gambarnya untuk semakan.
Kerani Pertama
- Kerani akan menyemak sama ada namanya berada dalam Buku Daftar Pemilih bagi saluran berkenaan;
- Kerani akan menentukan muka pemilih adalah sama seperti di dalam gambar dalam kad pengenalan;
- Kerani akan mengesahkan bahawa jari telunjuk kiri pengundi tidak terdapat apa-apa tanda calitan;
- Kerani akan meletakkan tanda di antara nombor siri dan nama pemilih di dalam buku Daftar Pemilih yang digunapakai di situ;
- Kerani Pertama akan menyerah kad pengenalan pengundi kepada Kerani Kedua;
- Pengundi berkenaan diminta beralih ke meja Kerani Kedua untuk jarinya dicalit;
- Kerani Pertama meneriak nombor siri pemilih seperti di dalam buku Daftar Pemilih mengikut nama dan nombor kad pengenalan pengundi berkenaan.
Kerani Pertama perlu meneriak nombor siri dalam buku Daftar Pemilih semata-mata bagi membantu wakil calon yang bertugas di Tempat Mengundi itu mencari nama pengundi dalam buku daftar pemilih yang dibekalkan kepadanya.
Kerani Kedua akan mencalit jari telunjuk kiri pengundi sebelum meminta pengundi beralih ke meja Kerani Ketiga untuk mendapatkan kertas undinya.
Kerani Ketiga akan:
*Koyak kertas undi dari buku kertas undi bagi kawasan Parlimen dan kawasan Dewan Undangan Negeri (Bagi Negeri Sarawak)- hanya Kertas Undi Parlimen
*Lipat dua kertas undi dan menyerahkannya kepada pemilih.
Setiap kertas undi yang diberi kepada pengundi itu telah dicap, sebahagian tanda cap akan terdapat pada kertas undi dan sebahagian lagi di kaunterfoil kertas undi. Cap ini adalah unik bagi setiap Pusat Mengundi.
Kerani Ketiga tidak akan memegang atau mengguna pen atau pensil sepanjang masa bertugas untuk mengelak syak dan tuduhan pihak-pihak tertentu bahawa Kerani Ketiga ini akan membuat apa-apa catatan pada kertas undi yang dikeluarkan kepada pengundi.
Untuk makluman, setiap buku kertas undi akan mengandungi 50 helai kertas undi. Ketua Tempat Mengundi akan mengeluarkan Buku kertas undi baru kepada Kerani Ketiga hanya apabila buku kertas undi sebelum ini habis digunakan.
Selepas diberi Kertas Undi, pemilih akan diminta pergi ke petak undi untuk menanda kertas undi. Setiap petak undi disediakan pen (bukan pensil seperti sebelum ini)untuk pengundi menggunakan bagi membuat tanda di dalam petak dalam kertas undi.
Jika pengundi bertukar fikiran selepas menanda kertas undi atau membuat kesilapan semasa menanda (seperti tanda pangkah itu terkeluar dari kotak) dan pengundi ingin mendapat kertas undi baru, ia boleh memberitahu Ketua Tempat Mengundi untuk memberinya kertas undi yang baru dengan menyerahkan kertas undi yang rosak itu kepada Ketua Tempat Mengundi. Atas arahan Ketua Tempat Mengundi, Kerani Ketiga akan memberi kertas undi yang baru kepada pengundi.
Semua kertas undi telah disemak teliti selepas dicetak untuk menentukan tidak ada tanda-tanda yang boleh merosakkan kertas undi semasa pengiraan undi. Walau bagaimanapun, jika pengundi mendapati terdapat apa-apa tanda pada kertas undi, pengundi tidak perlu memadamnya. Minta sahaja Ketua Tempat Mengundi supaya diganti dengan kertas undi lain.
Selepas menanda kertas undi, pemilih hendaklah membuat empat lipatan dan masukkannya ke dalam peti undi yang berkenaan, iaitu kertas undi bagi Parlimen ke dalam peti undi PARLIMEN dan kertas undi bagi Dewan Undangan NEGERI. Selepas kertas undi dimasukkan ke dalam peti-peti undi berkenaan pengundi hendaklah terus keluar dari Tempat Mengundi dan keluar dari Pusat Mengundi kerana kedua-dua ini adalah kawasan larangan
sumber:
http://www.pru13.gov.my/default.berita.utama.php?news_id=33
No comments:
Post a Comment